Saturday, May 17, 2008

Cikgu guna kaedah Mokhdar dalam kelas

Pada penghujung bulan April 2008, saya berada di Kuala Terengganu, Saya mendapat khabar yang lebih menggembirakan tentang penerimaan dan penggunaan kaedah Mokhdar, bila pembantu saya, Raja Faizal bin Raja Sallehuddin, menyampaikan salam daripada Pengetua Sekolah Menengah Teknik Kuala Terengganu di Jalan Lapangan Terbang.

"Ada cikgu beliau yang mahir dengan kaedah ini dan menulis dengan lancar fakta-fakta di papan tanpa merujuk kepada buku teks atau nota, semuanya disimpan di dalam kepala. Kata pengetua, memang amat mengkagumkan!" demikian laporan Raja Faizal.

"Engkau tak jumpa cikgu itu, buat interview sedikit, ambil gambar dan boleh kita masukkan ke dalam blog," kata saya.

"Masa itu 'dah lewat, saya rasa dia 'dah balik."

InsyaAllah, saya akan cuba mencari cikgu tersebut bila masa mengizinkan nanti.

Sebenarnya ini merupakan kali ketiga saya menemui cikgu yang mahir dengan kaedah Mokhdar. Kali pertama saya saya menemui cikgu yang mahir dengan kaedah ini ialah di Sekolah Menengah Sains Ulu Selangor, pada tahun 2002. Cikgu Yahya Wahi, guru berkenaan, pada masa itu mengajar fizik, matematik tambahan dan matematik untuk pelajar tingkatan empat dan lima.
Selepas selesai memberi ceramah, GPK dan Cikgu Yahya menjemput saya ke kantin untuk jamuan makan, sebelum kemudiannya Encik Abu Bakar, Pengetua, menyertai kami. (Tahun berikutnya, Encik Abu Bakar bertukar ke Kuala Krai, Kelantan, menjawat jawatan Pegawai Pendidikan Daerah) Encik Abu Bakar memberitahu saya yang pernah mendengar ceramah saya di sekolah lama beliau di Kelantan pada tahun 1996 dahulu. Cikgu Yahya terus memberitahu pengetua yang, jika tidak kerana mengamalkan kaedah Mokhdar, beliau tidak mendapat ijazah kepujian kelas pertama di dalam bidang fizik.

"Habis, engkau ajar tak kaedah ini kepada pelajar engkau?" tanya Pengetua.

"Tidak pula," jawab Cikgu Yahya. "Saya takut juga, kalau saya ajar mereka, saya akan dimarahi oleh Tuan."

"Benda yang elok, tak 'kan saya nak marah pula?"

"Betullah, tuan. Tapi kaedah ini tidak ada di dalam silabus," jawab Cikgu Yahya.

Tak lama kemudian, Pengetua meminta diri kerana perlu ke pejabat untuk menemui ibu bapa yang mahu berjumpa dengan beliau.

Saya segera mengambil kesempatan itu dengan menulis nombor kad pengenalan saya, dan menunjukkan kepada Cikgu Yahya Wahi.

"Nombor apa 'ni?" tanya beliau.

Saya tidak menjawab, tetapi terus mengambil semula cebisan kertas tersebut dan meminta beliau menyebut semula nombor tersebut. Beliau terus menyebutnya dengan tepat walaupun telah melihat nombor tersebut tak sampai pun satu saat.

Pada tahun 2007, seorang pelajar yang pernah mengikuti program ini di Shah Alam semasa berusia enam tahun dahulu, mendaftar semula untuk ikuti program ini sekali lagi. Beliau berada di tingkatan empat Sekolah Menengah Sains Ulu Selangor dan memang mengenali Cikgu Yahya Wahi kerana Cikgu Yahya adalah salah seorang guru beliau. Sebelum menghadiri kem lapan hari, beliau berjumpa dengan Cikgu Yahya dan cuba mendapatkan kepastian daripada Cikgu Yahya.

"Betul'ke cikgu guna kaedah Mokhdar maka cikgu dapat Ijazah Kepujian Kelas Pertama dalam bidang fizik?" tanya beliau kepada Cikgu Yahya, sebagaimana yang diceritakan semula kepada saya dan peserta-peserta kem Mokhdar.

"Memang betul," Cikgu Yahya mengesahkan.

"Kalau betul, apa tandanya?" tanya Nadia.

Cikgu Yahya mengeluarkan sekeping kad top-up handphone Celcom, lalu meminta Nadia menggores bahagian yang dipalam. Sebaik nombor itu tertera, Cikgu Yahya yang tadinya memalingkan muka daripada memandang nombor yang sedang digores, meminta kad tersebut. Setelah mengambilnya dan memandang kad tersebut dengan sekerdip mata, Cikgu Yahya melempar kad tersebut ke dalam longkang yang penuh berisi air.

"Cikguuu!!!" Nadia menjerit panik.

"Kenapa?" tanya Cikgu Yahya, selamba.

"Kenapa cikgu buang? Macam mana nak top-up handphone cikgu?" tanya Nadia.

Dengan selamba Cikgu Yahya men'top-up' handphone beliau dan terus menunjukkan kepada Nadia sms jawapan dari Celcom yang nombor telefon beliau telah berjaya ditambahnilai sebanyak RM20.00.

Sahlah yang antara pemangkin yang memampukan Cikgu Yahya mendapat Ijazah Kepujian Kelas Pertama di dalam bidang fizik ialah penggunaan kaedah Mokhdar.

Kali kedua ialah ketika saya berada di Sekolah Kebangsaan Renek, kira-kira tujuh kilometer dari Kuala Lipis, Pahang (jalan ke Gua Musang). Saya sendiri singgah di sekolah tersebut pada suatu hari pada tahun 2005. Penolong Kanan memberitahu saya tentang seorang 'budak' di sekolah beliau yang memang amat cekap dengan Kaedah Mokhdar dan mengumpul begitu banyak fakta-fakta sains, sejarah dan geografi di dalam mindanya dan sering membuat demonstrasi kekuatan memori kepada guru-guru dan pelajar-pelajar.

Saya meminta izin beliau untuk bertemu dengan 'budak' tersebut.

Beliau terus meminta saya mengikutnya ke bilik komputer. Rupanya 'budak' yang dimaksudkan oleh beliau adalah seorang guru sementara di sekolah tersebut, yang pada masa itu sedang menunggu keputusan permohonannya untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah di Universiti Darul Iman, Batu Rakit, Kuala Terengganu. Beliau telahpun lulus cemerlang di tahap Diploma Universiti tersebut.

'Budak' tersebut telah ikuti ceramah saya di Sekolah Menengah Agama Padang Tengku, Kuala Lipis, pada tahun 1994 dahulu. Setelah saya uji, saya dapati beliau memang benar-benar cekap dengan kaedah Mokhdar, cuma dari segi mengira cepat, beliau tidaklah dapat mencongak sepantas saya dan anak-anak.

Oleh kerana beliau memang pakar dengan kaedah Mokhdar, saya meminta beliau menggantikan saya selama empat jam dalam program dua hari (pagi hingga malam) yang dijalankan sekali lagi di sekolah lama beliau iaitu Sekolah Menengah Agama Padang Tengku, kerana saya terpaksa menghadiri suatu program lain di sebuah sekolah di Raub. Beliau menyetujuinya.

Petang itu, ketika sampai ke Sekolah Menengah Agama Padang Tengku, beliau menunjukkan kepada saya buku nota beliau yang menyebabkan saya terpaksa berusaha keras menahan air mata daripada mengalir kerana terlalu terharu. Buku nota setebal dua ratus lima puluh muka surat berkulit keras dan berukuran A4 tersebut menunjukkan bahawa bukan sahaja beliau mengamalkan kaedah Mokhdar bagi memudahkan pengurusan input-input matematik dan sains, tetapi mengamalkan segala apa yang saya tulis di dalam buku saya tentang kaedah belajar yang mudah dan berkesan.

Tambahan lagi, beberapa hari sebelum itu saya telah bertemu dengan isteri kepada Wakil Rakyat bagi sebuah DUN di Kuala Lipis, Dato' Abdul Rahman, yang juga merupakan Ketua Pemuda UMNO Negeri Pahang, yang memberitahu saya betapa tiga orang anak-anak beliau yang beliau sertakan ke dalam Bengkel Lapan Hari Kaedah Mokhdar yang saya adakan di Kuala Lipis beberapa tahun sebelumnya telah mengalami lonjakan kemampuan yang amat ketara di dalam menguruskan input-input matematik dan sains. Saya berkesempatan menguji kekuatan memori mereka dan nyata mereka mampu ingat nombor kad pengenalan saya dalam masa yang amat pantas yang amat dikagumi oleh orang-orang yang melihat kemampuan mereka. Begitu juga kemampuan mereka dari segi mencongak sehingga dua digit didarab dengan satu digit, mereka mampu memberi jawapan sepantas ditanya.


Di dalam bengkel yang diadakan kemudiannya, beliau mendaftarkan sekali lagi kesemua anak-anaknya untuk mengikuti bengkel tersebut, di samping mendaftarkan sekali beberapa orang anak-anak saudaranya.

Kali ini saya membiarkan sahaja air mata saya bergenangan kerana ketika itu tidak ada sesiapa bersama saya kerana waktu itu saya dalam perjalanan ke tandas, bila tiba-tiba saya terdengar dialog oleh anak beliau dengan pakciknya, yang bertugas menghantar mereka ke bengkel, dan mengambil mereka pulang.


"Kaedah apa ini?" tanya pakciknya.

"Inilah kaedah yang saya gunakan pakcik, sehinggakan saya sentiasa sahaja mendapat markah 100% bagi subjek matematik dan sains saya," kata Syafik, salah seorang daripada anak wakil rakyat tersebut.

Gambar anak-anak dan sepupu
Y.B.Dato' Abdul Rahman (rakaman tahun 2005).

No comments: