Tuesday, April 15, 2008

Begitu ramai pengguna Mokhdar yang saya temui!!

Jika dulu saya hanya menemui hitung panjang seorang pengguna kaedah Mokhdar atau ibu bapa / penjaga / ahli keluarga mereka yang memberi testimoni mengenai lonjakan yang mereka alami setelah terdedah kepada penggunaan kaedah Mokhdar sama ada secara aktif atau pasif, dalam bulan Mach dan April saya menemui hitung panjang tiga orang dalam tempoh seminggu yang menceritakan kepada saya, anak isteri saya, atau pegawai / kakitangan Fyvoeight Resources, tentang betapa diri / anak / adik mereka telah berubah setelah didedahkan dengan kaedah Mokhdar.

Pada 4hb April, Pegawai Seranta Public Relations Officer Fyvoeight Resources (PRO) tak sabar menceritakan kepada saya tentang isi perbicangan beliau dengan Puan Ummi Kalsum, Pengetua Sekolah Menengah Pasir Besar.

"Nanti Encik Mokhtar jumpa beliau, Encik Mokhtar jangan ceritakan apa-apa tentang apa yang beliau beritahu saya. Encik Mokhtar dengarlah dengan mata kepala Encik Mokhtar sendiri. Beliau memberitahu yang selepas anak-anak beliau ikuti Bengkel Rengkas kaedah Mokhdar dulu, anak-anaknya mengalami lonjakan di dalam subjek matematik dan subjek-subjek lain dan dua anak beliau telah pun berjaya masuk universiti dan seorang daripadanya berada di Jepun menyambung pengajian."

Beberapa hari kemudian, saya berpeluang bertemu dengan Puan Ummi Kalsum di pejabat beliau. Setelah beliau memberitahu saya yang anak-anak beliau pernah ikuti Bengkel 4 Jam Kaedah Mokhdar di Sekolah Menengah Kebangsaan Palong 4 pada tahun 1996 dahulu, saya bertanya tentang perkembangan anak-anak beliau. Beliau hanya memberitahu yang seorang daripada anak beliau kini berada di Jepun menyambung pengajian dan seorang lagi di universiti tempatan. Saya mahu mendengar dengan telinga saya sendiri akan apa yang telah diberitahu kepada saya oleh PRO, dengan berlagak seolah-olah saya tidak pernah mendengar apa-apa tentang kata-kata beliau kepada PRO. Namun menerusi perbualan kami, beliau tidak memberitahu apa-apa yang lebih menarik selain daripada menyatakan yang anak-anak beliau pernah mengikuti Bengkel Empat Jam saya pada tahun tersebut. Bagaimanapun beliau memberitahu saya yang beliau telah mendaftarkan anak kecil beliau, yang sekarang belajar di Sekolah Kebangsan Palong 14, untuk mengikuti program Bengkel Intensif 8 Hari yang akan diadakan di Palong 14 pada cuti bulan Mei 2008 nanti. Sedikit sebanyak ini menguatkan dakwaan PRO yang beliau memberi penilaian yang amat positif tentang Kaedah Mokhdar dan menguatkan kenyataan PRO yang Puan Ummi Kalsum telah mengaitkan tentang kecemerlangan anak-anak beliau dengan pendedahan dengan Kaedah Mokhdar menerusi ceramah dua jam dan bengkel empat jam di Sekolah Menengah Palong 14 pada tahun 1996 dulu.

Seminggu kemudian, PRO membawa satu lagi khabar menarik : bahawa Guru Besar Sekolah Kebangsaan Jelai 2 (F) telah memberitahu betapa selepas mengikuti program Kaedah Mokhdar, juga pada tahun 1996 dahulu, prestasi anak beliau di dalam subjek tersebut dan semua subjek-subjek lain naik begitu mendadak dan akhirnya anak beliau telah berjaya mendapat kejayaan cemerlang dengan memperoleh 10A di dalam peperiksaan SPMnya. Saya ingin mendapatkan maklumat lanjut daripada Guru Besar berkenaan, malangnya pada 15hb April, ketika saya berada di Felda Jelai 2, saya diberitahu yang beliau bersama isteri beliau, yang merupakan Penolong Kanan Sekolah Kebangsaan Jelai Tiga (F), telah berlepas ke Kuala Selangor kerana menziarah anak saudara yang mengalami kemalangan jalan raya di sana.

Kini, jika saya sendiri yang mendengar pengakuan ibu bapa, ahli keluarga atau diri pelajar mengenai penggunaan kaedah Mokhdar yang membantu menghasilkan kejayaan bagi pelajar berkenaan, saya pasti minta mereka menulis tentang pengalaman mereka di samping mengambil gambar mereka (jika kamera yang bawa ke mana sahaja kehabisan bateri atau tertinggal di rumah atau di hotel, saya gunakan kamera handphone saya(. Berikut ini saya paparkan tulisan tangan mereka sendiri untuk tatapan anda dan gambar mereka akan saya upload kemudian. (Untuk mendapatkan imej yang jelas, double-click pada paparan-paparan ini).


Tulisan tangan di atas adalah milik Abdul Hasyim bin Hilmi, pelajar Tingkatan 5, Maahad Ahmadi di Gemenceh, Negeri Sembilan. Ia berbunyi, "Nama adik saya Farah Hilmiyyah bt Hilmi. Dalam keluarga kami adik saya merupakan adik-beradik yang paling lemah matematik. Tetapi apabila dia mengikuti kursus kaedah Mokhdar, dia berjaya melakukan matematik selama sebulan selepas itu. Dia berjaya mendapat 'B" di dalam matematik di dalam PMR. Dia juga telah mengajar saya kaedah ini di rumah tetapi saya gagal membawa kaedah tersebut. Saya bersyukur setelah mengikuti sendiri kursus itu dari Encik Mokhtar 4 April 2008 saya berjaya memahaminya. Adik saya berlatih kaedah dengan membaca setiap nombor plat kereta yang lalu bersebelahan kereta saya setiap kali kami berjalan-jalan. Kini dia berada di Sekolah Teknik ... (tak dapat dibaca) ... Kuala Lumpur.

(Sebelum ini, di ruang ini, saya telah paparkan tulisan tangan bapa saudara kepada salah seorang peserta program kaedah Mokhdar, Siti Nurul Huda binti Saparuddin, yang mempelajari Kaedah Mokhdar pada darjah tiga sekolah rendah. Malangnya panggilan telefon bertali arus yang diterima beliau menyebabkan gangguang yang tak sepatutnya kepada beliau. Atas sebab itu, tulisan tangan bapa saudara beliau yang tertera nombor telefon telah saya gugurkan daripada teks ini. Teks tulisan tangan beliau adalah seperti berikut):

Anak saudara saya, Siti Nurul Huda binti Saparuddin, yang mempelajari Kaedah Mokhdar pada darjah tiga sekolah rendah, telah berubah sejak menyertai bengkel ini. Dia terus menggunakannya sehingga masuk ke UKM. Sekarang berjawatan Pengalisa Komputer (Programmer). Beliau menurunkan kaedah ini kepada anak saya sewaktu di darjah tiga. Anak saya bernama Shafizah Hazatul Shahira bt Syaid Hazmie, anak saya terus mengamalkannya dan seterusnya terus mendapat A dalam setiap kali ujian matematik. Pada tahun 2006 anak saya mendapat 5AUPSR 2006. Satu kejayaan untuk yang menggunakan kaedah Mokhdar. Telefon 012-663xxxx Sarimah / Sayed Hazmie bin Syed ... (tak dapat dibaca). Saya izinkan untuk dikeluarkan di akhbar ... Tanda tangan). Siti Nurul Huda 012-308xxxx.

Tulisan tangan di atas adalah milik Cikgu Sawai bin Abdullah, guru di Sekolah Kebangsaan Palong 5 (Felda). Beliau menceritakan betapa setelah anak beliau ikuti program kaedah Mokhdar di sekolah menengah dulu, anak beliau terus menggunakannya dan mempunyai minda yang amat tajam dengan input-input matematik dan sains. Anak beliau, Nurul Hidayah bt Sawai, seterusnya memperoleh A1 untuk matematik dan B3 untuk Matematik Tambahan di dalam peperiksaan SPM dan seterusnya melanjutkan pengajian ke universiti. Anak Cikgu Sawai kini adalah seorang guru kimia, matematik dan matematik tambahan di Sekolah Menengah Perempuan Sultan Ibrahim, Johor Bharu.

Encik Cikgu Zahari Helmy bin Mohammad (25 tahun), tuan punya tulisan tangan di atas, datang menemui saya pada 11hb April 2008, sejurus selepas sesi taklimat 'Menajamkan Minda Matematik dan Sains menerusi Kaedah Mokhdar' kepada guru-guru dan pelajar Sekolah Menengah Dato' Mansor, Bahau, yang dijalankan dari 7.30 pagi ke 8.15 pagi. Beliau menceritakan kepada saya betapa selepas ceramah pendedahan kaedah Mokhdar yang diadakan di sekolah beliau pada tahun 1997 dahulu, beliau mempraktikkan kaedah Mokhdar dan konsep kaedah Mokhdar dan akhirnya berjaya melanjutkan pengajian ke Universiti Teknologi Malaysia di dalam jurusan Mechanical Engineering. Sebelum ini bertugas di sebuah firma sebagai Jurutera Mekanikal, bagaimanapun buat sementara ini beliau ingin beralih angin dengan bertugas sebagai guru sementara di sekolah tersebut.

Sesuatu yang menarik dan perlu diceritakan di sini ialah, kedua-dua Encik Zahary dan Nurul Hidayah, anak Cikgu Sawai (sebagaimana yang diceritakan oleh Cikgu Sawai), mencatatkan keputusan yang amat cemerlang untuk matematik tetapi tidak begitu cemerlang untuk matematik tambahan - sama dengan apa yang diceritakan oleh Encik Dani, Pengetua Sekolah Menengah Sains Selangor di Cheras. Kesemua mereka mengatakan yang kononnya diri / anak-anak mereka tidak mencipta kejayaan yang cemerlang bagi matematik tambahan disebabkan faktor bahawa mereka datang dari keluarga yang lemah matematik. Saya menjelaskan kepada mereka bahawa di zaman awal penemuan dan perkembangan kaedah Mokhdar dulu, saya hanya memendekkan sebutan angka dan beberapa simbol asas tetapi tidak pernah terfikir untuk memendekkan sebutan simbol-simbol dan ungkapan algebra yang menjadi teras di dalam subjek matematik tambahan.

Anak-anak saya sendiri tidak mencatatkan keputusan yang cemerlang bagi matematik tambahan mereka walaupun mencatatkan A1 untuk matematik moden, termasuk Nur Amin yang semasa di dalam Tahun Dua dan Tiga dahulu (1988/1989), ketika saya memaksa anak-anak melakukan aktiviti matematik di rumah dengan menggunakan bahasa Inggeris (sama ada menyiapkan kerja rumah, menghafal sifir atau melakukan akvititi-aktiviti matematik lainnya) dengan menggunakan bahasa Inggeris, telah dimasukkan ke kelas pemulihan kerana menunjukkan prestasi yang amat lembab.

Bagaimanapun, selepas memperoleh formula bagi memendekkan dan memampatkan sebutan-sebutan untuk sekian banyak simbol dan ungkapan algebra yang membanjiri pembelajaran subjek matematik tambahan, saya menerima begitu banyak pengakuan dari pelajar yang mengatakan bahawa prestasi mereka di dalam subjek matematik tambahan juga melonjak jauh ke atas. Nur Idzham, anak keempat saya yang menduduki peperiksaan SPM pada 2007, turut mendapat A1 untuk matematik moden dan A2 untuk matematik tambahan. Beliau turut mendapat A1 untuk subjek-subjek Bahasa Malaysia, Agama Islam, Sejarah dan Biologi, dan B2 untuk subjek-subjek Kimia dan Fizik dan C3 untuk Bahasa Inggeris.

(Ada individu yang memberitahu saya bahawa anak-anak mereka, walaupun tidak menggunakan apa-apa kaedah, mendapat 10A1. Sememangnya saya tidak pernah menafikan bahawa faktor kualiti genetik, di samping faktor-faktor lain seperti environment, kesibukan dengan tugas-tugas lain seperti memegang pelbagai jawatan di sekolah, faktor bahasa, faktor guru, faktor pergaulan dan sebagainya memainkan peranan yang amat penting di dalam menentukan prestasi seseorang.

Sebagai seorang pelajar, Nur Idzham dianggap seorang pelajar yang amat cemerlang di sekolahnya lalu diberi 'Anugerah Semai Bakti', anugerah yang diberi kepada pelajar yang cemerlang di dalam akademik dan aktif di dalam kurikulum. Ini mungkin kerana Nur Idzham amat aktif di sekolahnya, dengan memegang jawatan Pengerusi PRS sejak di berada di tingkatan dua, enggan memohon ke mana-mana SBP selepas PMR (dengan mendapat kelulusan 6A 2B) kerana committed dan sayang mahu meninggalkan jawatan dan sekolahnya, dilantik menjadi Ketua Pengawas oleh pihak sekolah tetapi menolaknya kerana tidak mahu melepaskan jawatan Pengerusi PRS yang dipegangnya sejak belajar di Tingkatan Dua, bagaimanapun Pengetua tetap melantiknya menjadi Timbalan Ketua Pengawas merangkap Ketua Disiplin Sekolah, dan mengambil pendirian bahawa walaupun Pengerusi PRS tidak dibenarkan memegang jawatan Pengawas disebabkan oleh pertentangan fungsi dan peranan, dalam kes Nur Idzham, dia dikecualikan dari peraturan tersebut.

Di samping memegang pelbagai jawatan, Nur Idzham juga menjadi fasilitator program perkhemahan, motivasi dan lain-lain sama ada yang dianjur oleh sekolahnya sendiri atau sekolah-sekolah lain. Dia juga memimpin dan menjadi jurulatih nasyid, menyertai forum, bahas, syarahan, pertandingan melukis, perlawanan catur dan sebagainya.

Untuk panduan ibu bapa lain, saya juga ingin menegaskan bahawa antara faktor penting yang menghalang Nur Idzham mendapat 10A atau 11A penuh ialah masalah penguasaan bahasa Inggerisnya. Sejak mulai mendapat anak, puas saya memujuk isteri supaya sentiasa berhubung dengan anak-anak di dalam bahasa Inggeris, malangnya isteri saya gagal berbuat demikian kerana menurutnya, dia tidak menguasai bahasa Inggeris sama sekali.

"Tak perlulah Rofeah kuasai bahasa Inggeris. Biasakan sahaja bercakap Inggeris dengan anak-anak, tak 'kanlah tak tahu apa itu 'plate', 'cup', 'book', 'cloth', 'rice', 'kitchen' dan sebagainya?" begitulah yang sering saya ingatkan isteri saya. "Kita praktikkan bahasa Inggeris supaya mereka memiliki environment bahasa Inggeris supaya mudah belajar nanti. Jika ada environment bahasa Inggeris di rumah, nanti subjek bahasa Inggeris jadi amat mudah bagi mereka. Selain dari itu, pembelajaran bagi subjek-subjek biologi, kimia dan fizik juga, walaupun di dalam bahasa Malaysia (pada masa itu), tetapi memerlukan penguasaan bahasa Inggeris yang baik kerana walaupun bunyinya adalah bahasa Melayu, tetapi semangat, konsep dan sintaksisnya adalah bahasa Inggeris. Saya sendiri sering merujuk kamus bahasa Inggeris untuk mengetahui erti perkataan Melayu yang diambil dari bahasa Inggeris."

"Bukan tak nak cakap, bang. Saya cuba juga nak cakap bahasa Inggeris, tetapi tetap tak terkeluar 'plate', mesti terkeluar 'pinggan' juga.

Itulah masalah di dalam keluarga saya. Lebih-lebih lagi, sejak meletak jawatan pada 1993, saya jarang sekali berada di rumah kerana mengembara dari satu tempat ke satu tempat di seluruh negara, mencanangkan idea-idea saya dan kaedah Mokhdar. Kadang-kadang saya tidak menjejak kaki ke rumah selama hampir enam bulan, dan dapat bersama dengan anak isteri saya hanya pada dua hari hujung minggu di mana mereka mendapatkan saya di hotel penginapan dengan mengambil penerbangan jika tempat saya berada adalah di bandar-bandar besar dan mengambil jarak perjalanan yang amat jauh, atau saya hantar pemandu atau teksi untuk mengambil mereka jika tempat berkenaan tidak praktikal untuk diambil penerbangan kerana terletak terlalu jauh dengan lapangan terbang, misalnya di Mersing atau Gua Musang. Lantaran tidak didedahkan senantiasa dengan penggunaan bahasa Inggeris, bila saya bercakap dengan mereka di dalam bahasa Inggeris, mereka hanya mampu mendengar cakap saya tanpa dapat memahami benar-benar apa yang saya cakapkan. Akhirnya komunikasi saya dengan mereka adalah amat tidak berkesan jika dilakukan di dalam bahasa Inggeris, maka terpaksalah saya bercakap di dalam bahasa Melayu yang tentunya amat dikuasai mereka.

Dengan demikian saya gagal membudayakan minda mereka dengan bahasa Inggeris - lalu bahasa itu menjadi bahasa yang amat asing bagi mereka. Akibatnya, bukan sahaja anak-anak saya, termasuk Nur Idzham, terpaksa struggle dengan bahasa Inggeris, tetapi juga terpaksa struggle dengan subjek-subjek lain yang memerlukan penguasaan bahasa Inggeris yang baik untuk memahaminya dengan selesa walaupun diajar di dalam bahasa Malaysia - di atas sebab yang saya nyatakan di atas. Selain dari itu, bagi pelajar yang mahir berbahasa Inggeris, mereka mudah membuat rujukan kepada sumber-sumber maklumat sama ada menerusi buku-buku dan pada zaman internet ini, merusi rujukan di internet, tetapi orang yang lebih lemah penguasaannya? Mereka hanya dapat memerhatikan dengan mata memutih dan jika boleh, ingin menjadi seperti rakan-rakan yang begitu mudah dan begitu selesa dapat memanfaatkan teknologi siber menerusi penguasaan bahasa Inggeris mereka yang menjadi seolah-olah seperti bahasa ibunda mereka kerana ia menjadi bahasa pertuturan di rumah mereka dan bahasa minda mereka.

Barangkali jika minda Nur Idzham mencekapi bahasa Inggeris sebagaimana dia mencekapi bahasa ibundanya iaitu Bahasa Malaysia, pasti dia juga mampu mencipta kejayaan cemerlang straight 11A malah 20A walaupun dia tidak memiliki genetik sehebat itu. (Saya membuat catatan ini untuk menangkis tohmahan yang dibuat oleh segelintir pihak kononnya Nur Idzham, yang semasa berusia enam dan tujuh tahun dulu, menerusi amalan kaedah Mokhdar di dalam keluarga, telah mampu memahami dan menyelesaikan masalah matematik dan sains yang biasanya diajar kepada pelajar-pelajar sekolah menengah rendah malah menengah atas. Saya juga ingin memaklumkan kepada surfers, bahawa, kini saya dapati bahawa antara 10 ke 20 peratus pelajar-pelajar di tadika atau di sekolah-sekolah kebangsaan, setelah dibudayakan minda mereka dengan kaedah Mokhdar, mampu memahami dan menyelesaikan masalah-masalah matematik dan sains yang biasanya diajar kepada pelajar-pelajar sekolah menengah dan menengah atas, sekiranya masalah tersebut adalah berbentuk fact & figure.)

(Catatan : Pada Jun 2009, Nur Idzham telah mendaftaran diri untu mengikuti pengajian ijazah dalam bidang Kejuruteraan Kimia di Universiti Teknologi Malaysia di Skudai).

No comments: