Wednesday, February 20, 2008

Emak jealous tengok along kuat ingatan


CIKGU ZUERIEANI NONG
Pada suatu hari di bulan Mach 2005, saya ke salah sebuah daripada kedai fotostat yang terdapat berserakan di Taman Cempaka, Ipoh, kerana memfotostat fliers kepilan.

"Encik Mokhtar ada program di sini'ke?" tanya seorang wanita, dalam lingkungan usia 40han, kepada saya.

"Ya," jawab saya. Wanita itu tidak saya kenali, mungkin beliau adalah salah seorang daripada guru-guru di sekolah yang telah memberi laluan
kepada saya memperkenalkan kaedah Mokhdar menerusi
ceramah satu setengah jam di sekolah mereka.

"Puan 'ni, seorang guru'ke?"tanya saya.

"Ya." jawab beliau.

"Sekolah mana?"

"Sekolah Kebangsaan Methodist Jalan Kampar," jawabnya seterusnya.

"Oh," kata saya. Memang saya tahu sekolah itu, dan sekolah tersebut pernah menjemput saya memberi ceramah tentang kaedah Mokhdar pada tahun 1994 dulu.

"Tak 'nakkah ceramah di sekolah saya?" tanya beliau.

"'Nak juga, tapi saya pernah ceramah di situ pada tahun 1994 dulu."

"Saya belum mengajar di sekolah itu. Tak nak datang lagi?"

"Rasa-rasa 'nak juga, tetapi majoriti pelajar sekolah itu pelajar Cina dan India, 'kan?"

"Kenapa, Encik Mokhtar tak nak ceramah kepada pelajar India dan Cina?"

"Tidaklah begitu, tetapi biasanya pelajar-pelajar Cina kurang sedikit menghargai kaedah ini, walaupun ramai daripada mereka yang mempraktikkan kaedah ini berjaya melonjakkan pencapaian mereka. Sebab itu kadang-kadang saya keberatan juga ke sekolah yang ramai pelajar Cina. Tapi kalau pelajar India, mereka amat menghargai, bagaimanapun, ada masalah komunikasi pula. Tapi kalau cikgu nak jemput ke sekolah cikgu, saya tidak ada masalah."

"Saya akan usahakan."

"Sebelum ini kita jumpa di sekolah mana?" tanya saya mencari kepastian, kerana sekolah beliau mengajar tidak berada di dalam senarai ceramah saya pada tahun itu. Tarikh ceramah yang telah saya sampaikan dulu telah lama berlalu - lebih daripada sepuluh tahun yang lalu.

"Kita tak pernah berjumpa."

"Habis, macam mana cikgu kenal saya?'

"Anak saya ada simpan buku Encik Mokhtar. Di belakang buku 'tu ada gambar Encik Mokhtar, sebab itu saya kenal. Tapi buku 'tu dia beli 'dah lama 'dah, masa Encik Mokhtar beri ceramah di sekolah dia dulu iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Raja Azlan Shah di Bandar Iskandar, pada tahun 1996 atau 1997 dulu. Tapi gambar Encik Mokhtar dalam buku 'tu sama sahaja dengan rupa Encik Mokhtar yang saya tengok sekarang, macam tak banyak berubah," kata beliau tersipu-sipu.

Saya lagi tersipu mendengar ucapan yang seperti memuji saya itu, dan tak tahu bagaimana harus saya memberi reaksi.

"Kenapa kerajaan tak laksanakan kaedah 'tu? Sayang, peluang untuk melonjakkan pencapaian pelajar-pelajar kita dilepaskan begitu sahaja. Anak saya selalu bersungut kepada saya."

"Dia guna tak kaedah 'tu?"

"Bukan lagi dia gunakan, malah dia amat cekap dengan kaedah Encik Mokhtar 'ni. Ingatannya terhadap rumus, nombor telefon, tarikh sejarah, formula, persamaan, malah mengira laju. Encik Mokhtar tak bawa ke Kementerian Pelajaran'ke?" tanya beliau lagi.

Saya diam mencari jawapan. Mengenang pengalaman saya dengan pegawai-pegawai Kementerian Pelajaran, khususnya di Pusat Perkembangan Kurikulum, banyak perkara yang menusuk kalbu yang berlaku, yang mungkin tak manis kalau saya ceritakan. Bagaimanapun pada masa itu beberapa pegawai di Pusat Perkembangan Kurikulum, yang mengusahakan kehadiran saya di Perlis bagi Projek Rintis Penggunaan Kaedah Mokhdar di 10 buah sekolah kebangsaan di Perlis (yang perlaksanaannya menumpang bajet projek sempoa), memberi harapan yang amat tinggi bahawa kaedah tersebut pasti akan dilaksanakan oleh mereka - demi memangkin wawasan Menteri Pelajaran, Dato' Hishamuddin Hussein Onn, yang mahu memperkasakan pencapaian sekolah-sekolah kebangsaan.

Walaupun beberapa orang pegawai, termasuk yang memegang keypost, seperti sudah solid mahu melancarkan program itu, tetapi ada juga seorang pegawai yang mencari kesempatan berbisik kepada saya, bahawa jika saya tidak ada orang dalam, kaedah itu tidak akan dilaksanakan kerana kononnya, di kalangan pegawai-pegawai PPK, perlaksanaan kaedah Mokhdar adalah 50/50. Sedangkan menerusi perbualan saya dengan Encik Wahab, Ketua Unit Matematik pada masa itu, disokong lagi dengan perbualan saya dengan Encil Ali dan Encik Mazlan, pegawai-pegawai di bawah Encik Wahab, saya diberi tanggapan yang projek tersebut sudah pasti akan dilaksanakan.

"Kenapa, kaedah Mokhdar tak bagus'ke?" saya bertanya kepada pegawai yang menyampaikan khabar yang kurang menyenangkan itu.

"Kaedah you bagus. Dari dulu semua orang tahu yang kaedah you sebenarnya amat bagus. Masalahnya you tak ada orang dalam. Beginilah, kami tawarkan diri untuk jadi orang dalam you," kata beliau.

Sebagai seorang bekas Majistret Kanan dan bekas Peguam Kanan Persekutuan merangkap Timbalan Pendakwa Raya Malaysia bagi negeri Kedah, sudah pasti kata-kata beliau menyebabkan saya tersentak. Tak mungkin orang yang berpelajaran tinggi bermentaliti murahan seperti itu?

Bagaimanapun saya menenangkan diri semula, kerana mungkin niatnya iklas mahu menolong - oleh kerana kaedah saya amat baik, maka dia bersedia menjadi orang dalam tanpa memikirkan apa-apa kepentingan diri. Lebih-lebih lagi ketika makan malam bersama pada keesokan harinya, di hadapan anak saya dan rakan anak saya yang ketika itu belajar di dalam bidang perakaunan Universiti Utara Malaysia yang mengunjungi saya dan bermalam di bilik saya di Hotel Putra Palace, Kangar, dia dengan tegas menceritakan beberapa perbuatan rasuah dan salah guna kuasa di kalangan beberapa orang pegawai kerajaan dan swasta, yang amat dibencinya.

"'Dah bawa pun, memang sekarang ini projek rintis kaedah ini sedang dilaksanakan oleh sepuluh buah sekolah di Perlis. Tahun depan, kata pegawai-pegawai dari PPK, akan diperluaskan ke seluruh negara," akhirnya saya memberi jawapan.

"Baguslah kalau 'gitu. Sepatutnya 'dah lama kaedah ini dilaksanakan."

"Anak cikgu di mana sekarang?"

"Di Universiti Malaya, di Asasi Sains. Kalau Encik Mokhtar tengok dia, sebagai seorang guru, tentu Encik akan amat berpuas hati melihat kemahiran Mokhdarnya dan kemahirannya mengaplikasikan kemahiran Mokhdar itu bagi subjek-subjek yang bagi orang lain amat sukar diikuti, seperti kimia, fizik, biologi dan matematik tambahan."

"Terima kasih banyak, cikgu," kata saya. Malang sekali kerana saya tidak membawa kamera pada masa itu. "Tolong kirim salam kepada anak cikgu nanti," kata saya.

"Dia tentu teruja bila tahu yang saya jumpa Encik Mokhtar petang ini. Nanti saya telefon along sampaikan salam Encik Mokhtar," kata beliau.

Along? Siapa Along? Oh, pastilah anak yang dimaksudkan oleh beliau tadi.

Hari ini, tanggal 21hb Khamis 2008, hari Khamis, peristiwa di Taman Cempaka, Ipoh, bagai berulang sekali lagi. Tetapi kali ini saya sudah bersedia kerana kamera saya sentiasa saya bawa ke mana-mana di dalam poket seluar saya. Jika kamera itu habis bateri, saya gunakan kamera telefon bimbit saya.

Habis memberi ceramah mengenai kemahiran mengingat dan menguruskan input-input matematik dan sains, saya dijemput ke kantin oleh Cikgu Zuerieani Nong, kaunselor di sekolah tersebut.

Tak lama selepas menjamah hidangan, Pengurus Perhubungan Awam Fyvoeight Resources, Raja Faizal bin Raja Salehuddin, menyertai kami.

Entah macam mana tiba-tiba saya mendengar Cikgu Euerieani memberitahu Faizal, "Saya jealous tengok Along. Nombor-nombor telefon ditengoknya sekali imbas dan terus ingat lama.

Saya tanya, Along buat macam mana, sedangkan Emak, nak ingat satu nombor telefon pun terkapai-kapai."

"Along 'tu siapa?" saya bertanya. Sekonyong-konyong saya teringatkan kaunselor SK Methodist yang saya temui di Taman Cempaka, Ipoh, dahulu. Anak beliau juga dipanggil 'Along'.

"Anak sayalah. Dia beli buku Encik Mokhtar semasa Encik Mokhtar beri ceramah di Sekolah Menengah Seri Jengka dulu, lama 'dah, tahun 2002 dahulu. Ini bukunya. Semasa Faizal jumpa saya tengah hari semalam, saya baru sahaja membelek-belek buku yang Along beri. Itu yang saya teruja sangat nak bawa program ini kepada pelajar-pelajar di sekolah kami," kata beliau sambil menunjukkan buku kaedah Mokhdar yang telah dibeli oleh Along.

"Sekarang, dia di mana?" Raja Faizal bertanya.

"Di UTM Skudai, pengajian dalam bidang Fizik Kesihatan."

"Alhamdulillah," kata saya. "Tahun 2005, di Ipoh, saya berjumpa dengan kaunselor SK Methodist Jalan Kampar, Ipoh. Dia pun membawa cerita sama seperti cerita cikgu. Anaknya beli buku semasa ceramah saya di SMKA Raja Azlan Shah di Bandar Iskandar, dia gunakan kaedah Mokhdar dan dia mengalami lonjakan luar biasa dari segi kemampuannya mengingat dan menguruskan input-input berbentuk angka dan mathematical. Kebetulan dia juga dipanggil Along oleh emaknya," kata saya.

"Kalau fasal matematik, Along dia memang amat suka sebab matematik adalah subjek yang paling senang baginya. Kalau Encik Mokhtar nak buat program di Ulu Jempol 'ni, saya memang nak hantar adik dia."

"Saya harap cikgu dapat benarkan saya ambil gambar cikgu kerana nak papar di blog saya. Bukan apa, cikgu. Kita kena sebarkan maklumat ini kepada semua anak bangsa, jangan mereka menyangka yang kaedah ini karut kerana ia telah membantu ratusan pelajar kita melonjakkan prestasi mereka, itu yang dapat saya kesan. Yang saya tak dapat kesan, ribuan lagi. Bayangkan, sejak sebelum meletak jawatan lagi pada tahun 1993, saya memberi ceramah tentang kaedah ini kepada hitung panjang dua ribu pelajar sehari."

"Sekarang, cikgu, hampir setiap minggu ada sahaja orang yang akan menceritakan kepada Encik Mokhtar betapa prestasi mereka atau anak mereka melonjak selepas ikuti program kaedah Mokhdar," Faizal memberitahu Cikgu Zuerieani.

Walaupun Cikgu Zuerieani keberatan membenarkan saya menyiarkan kisah Along (nama sebenar : Mohd Hairul Azzuan), namun setelah puas saya mengulang penegasan bahawa kisah ini adalah amat perlu untuk kepentingan anak bangsa agar jangan mereka terlepas peluang untuk melonjakkan prestasi diri dengan kaedah yang sepatutnya amat mudah ini, beliau akhirnya membenarkan saya mengambil gambar beliau bersama dengan buku yang telah dihadiahkan oleh Along kepadanya.

No comments: