Monday, July 28, 2008

Bila guna Mokhdar, kita cuma 'ingat' dan bukannya 'nak ingat'

Anis Farihin bt Zainal Abidin,
pelajar Kolej Islam Antarabangsa,
Gombak

Isteri saya memanggilnya 'Ton', tetapi nama sebenarnya tidak diketahui. Mereka sering bertemu di dalam kelas-kelas agama yang diadakan di masjid Country Homes, dan hubungan mereka menjadi rapat dan saling berkunjung. Malah saya pernah mengirim wang kepada isteri dengan cara online ke akaun Ton kerana isteri saya tidak mempunyai akaun Maybank dan cawangan bank isteri saya tidak terdapat di tempat saya berada ketika itu.

Ton memberitahu isteri saya yang anak-anaknya pernah ikuti
program Bengkel Kaedah Mokhdar yang dijalankan di Sekolah Rendah Khir Johari pada tahun 1999 dahulu.

"Tanyalah dia perkembangan anak-anaknya, bolehlah kita masukkan ke dalam laman web," kata saya.

"Seganlah saya," katanya.

Hari ini, Isnin 28hb Julai 2008, saya tidak ke mana-mana dan berada di rumah sebelum ke pejabat. Pada jam lebih kurang 9.45 pagi, sebuah kereta berhenti di hadapan rumah. Ton bersama dengan dua orang anak-anak beliau keluar dari kereta, tetapi tidak terus masuk ke rumah. Anak-anaknya membelek anak-anak kucing yang ditempatkan di dalam sangkar besi di luar rumah, yang baru dilahirkan ibunya kira-kira sebulan yang lalu.

"Mereka nak ambil anak-anak kucing itu'kah? Sayang pula nak beri," kata saya. Isteri saya memberitahu yang Ton telah membuat booking untuk anak-anak kucing kacukan Siam itu.

"Tak'lah, suaminya tak benarkan," kata isteri saya.

Walaupun saya jarang melayan kucing-kucing tersebut, tetapi melihat kelitah ibunya yang sering menggesel-geselkan badannya ke kaki saya dan duduk berhampiran saya jika saya duduk bersila, terasa berat hati mahu memisahkan ia dengan anak-anaknya.

Saya naik ke tingkat atas dan bersalin pakaian untuk ke pejabat. Bila saya turun, Ton dan anak-anaknya sudah pun berada di dalam rumah.

"Cikgu Mokhtar!" sapa anaknya.

"Apa khabar?" tanya saya. "Kamu'ke yang pernah ikuti Bengkel Kaedah Mokhdar di Sungai Petani dahulu?"

"Memang ya," jawabnya. "Kami bertiga, lama dulu, tahun 1999, masa itu cikgu pakai Pajero."

"Saya hantar semuanya. Mula berat nak hantar sebab masa itu gaji suami saya tidaklah banyak. Tapi lepas bincang dengan Encik Mokhtar, kami masukkan kesemuanya," kata Ton pula.

Menjadi adat saya iaitu untuk menguji sama ada seseorang yang pernah ikuti program Kaedah Mokhdar terus mengamalkan kaedah itu ataupun tidak, saya bertanyakan sifir dalam kod-kod Mokhdar yang tidak akan dapat dijawab sekiranya seseorang itu tidak terus mengamalkan Mokhdar.

"Ja ka?" tanya saya.

"Man," jawabnya.

"Ka lan?"

"Jaw".

"Alhamdulillah. Sah kamu gunakan. Sekarang di mana?"

"Kolej Islam Antarabangsa di Gombak."

"Alhamdulillah. Terus gunakan atau tidak?".

"Sampai sekarang saya terus gunakan. Matematik score A dalam setiap exam termasuk PMR dan SPM. Begitu juga adik saya iaitu Amira Farhana, matematik, scored A dalam setiap exam termasuk PMR dan SPM. Masa masuk program Mokhdar dulu, dia dalam Tahun 3 sekolah rendah," jawab Anis Farhana, anak Ton.

"Sebenarnya saya sendiri pun cekap dengan kaedah Mokhdar walaupun tak masuk program," kata Ton, sambil menyebut sebutan darab asas dalam kaedah Mokhdar. "Jalan naga, ja ka man, pa lan gan."

"Memang hebat 'ni. Kalau 'dah cekap macam 'tu, mengingat angka, tarikh sejarah, rumus, formula kimia, seksyen undang-undang, fakta sains dan matematik tidak lagi memerlukan hafalan yang berlebihan," kata saya.

"Saya memang terus gunakan sampai sekarang, cikgu. Contohnya, nak ingat nombor-nombor telefon, memang saya sebut secara Mokhdar, sebab itu saya senang ingat."

"Sebenarnya bila guna Mokhdar, kita tak perlu sebut 'nak ingat' lagi, kerana bila sebut 'nak' itu, ertinya perlu ada sesuatu aktiviti yang memerlukan fokus. Kita hanya ingat - ingat sahaja apa yang dilihat dan didengar tanpa perlu sebut 'nak' kerana banyak daripada perkara-perkara itu, misalnya nombor-nombor telefon, yang tersimpan di dalam memori kita untuk jangka waktu yang amat lama walaupun kita tidak terlintas pun 'nak' ingat akan nombor-nombor itu," kata saya.

1 comment:

Yuss said...

Salam,

Terkejutnya saya terjumpa blog ini secara tak sengaja.

Kalau tak silap, saya pernah diperkenalkan dengan sistem Mokhdar sewaktu di sekolah rendah dahulu.

Tahun 1992 kalau tak silap. Semasa saya di darjah 5. Sekolah Rendah Sultan Abdul Aziz Teluk Intan.

Kenangan lama ini betul2 menerjah minda saya sekarang ini. Ia membuatkan saya tersenyum.

"Tu sem sem wa sem ga pan ga sem ma juh..."

Itulah perkara pertama yang di ajar oleh encik mokhtar ketika itu sehingga melekat dalam kepala otak saya sampailah ke hari ini. 'Sifir 19'.

Tetapi selepas pindah ke Ipoh tahun berikutnya, saya tidak lagi pernah mendengar dan mempraktikkan kaedah ini.

Kagumnya saya Mokhdar masih kekal hingga ke hari ini.